May 6th, 2017

SELEPAS TEMPELENG FATIMAH, UMAR DAPAT HIDAYAH

Sayidina Umar Al-Khattab berkata - Siapa yang menjaga percakapannya dianugerahkan kepadanya hikmah. - Siapa yang menjaga penglihatannya dianugerahkan kepadanya hati yang khusyuk. - Siapa yang menjaga makanannya dianugerahkan kepadanya kelazatan dalam beribadah. - Siapa yang bersabar di atas ujian, Allah sempurnakan sabarnya lalu memasukkannya ke dalam Syurga mana yang dia suka. - Siapa yang menjaga daripada ketawa dianugerahkan kepadanya kehebatan. - Siapa yang menjaga daripada bergurau dianugerahkan kepadanya keelokan atau kemuliaan. - Siapa yang meninggalkan cinta dunia dianugerahkan kepadanya dapat melihat kesalahan sendiri. - Siapa yang meninggalkan kesibukan mencari kesalahan pada perbuatan Allah, dianugerahkan kepadanya pelepasan daripada nifak.

Hati kecilnya tidak sanggup lagi melihat abangnya terus-menerus menjadi seteru Allah.  Sejak Islam bersinar di bumi yang kontang itu, entah sudah berapa nyawa yang rebah hasil perbuatannya. Dia menyedari tiada kekuatan yang ampuh untuk menghalang segala kedurjanaan abangnya. Kerana abangnya terkenal dengan sikap bengis, keras kepala dan tidak mahu tunduk kepada sesiapa pun. Lantaran keperibadiannya itu membuatkan kaumnya takut, tunduk dan terpaksa hormat kepadanya.

Masa terus berlalu. Kedurjanaan itu semakin meresahkan hati Fatimah. Di kala itu hanya Tuhan saja yang tahu isi hatinya. Sikap abangnya yang terlalu menghina dan memusuhi Islam sangat menghiris hatinya. Segala peristiwa itu membuatkan Fatimah rasa malu pada Rasulullah dan para sahabat, lebih-lebih lagi pada Allah. Itu semua membuatkan ia bangun di tengah malam untuk menceritakan segalanya pada Tuhan.

Tuhan Yang Maha Baik tentu tidak akan melupakan dirinya. Fatimah pernah mendengar Rasulullah berdoa, demikian bunyinya: “Wahai Allah, muliakan Islam dengan salah seorang dari dua Umar, Umar bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab.”

Fatimah berharap sangat agar Tuhan memilih abangnya, Umar bin Al Khattab untuk menguatkan Islam. Walaupun sifat abangnya terlalu garang, keras kepala, tegas dalam mempertahankan pendiriannya, dan menyeksa hambanya yang memeluk Islam hingga ada yang mati. Menurut sejarah, 11 orang pernah diseksa oleh Umar hingga ada yang mati dan tercedera.

Kalau hendak dicerita buruknya Umar memang panjang lebar. Tapi cukuplah itu semua sudah menyeksakan nafas Fatimah. Fatimah rasa bertanggungjawab untuk membetulkan dan menglslamkan abangnya. Tapi apalah dayanya, sedangkan keIslamannya sendiri masih disembunyikan dari pengetahuan abangnya.

Kalau Umar tahu dia telah Islam, tentu buruk padahnya. Tentu berbagai penderitaan dan seksaan akan menimpanya. Sebab itulah Fatimah hanya mampu berdoa dan merintih kepada Allah siang dan malam. Semoga Allah selesaikan masalahnya segera. Bukankah Allah pernah berfirman dengan maksudnya: “Pintalah kepada-Ku,  nescaya Aku akan kabulkan permintaanmu.”

Fatimah Al Khattab yakin sungguh-sungguh bahawa Tuhan tentu tidak memungkirkan janji-Nya. Kiranya dia benar-benar menyerah diri kepada Allah dengan penuh yakin bahawa Allah sahaja yang boleh menyelesaikannya. Tuhan yang Maha Penyayang, Maha Pengasih, Maha Mengetahui, Maha Mendengar lagi Maha Agung tentu men-dengar rayuannya setiap hari dan pasti akan menunaikan permintaannya.

Pada suatu malam, Fatimah dan suaminya Said bin Zaid membuka kembali lembaran-lembaran kalam Allah yang telah diajarkan oleh Rasulullah. Fatimah melagukan ayat-ayat itu dengan alunan irama yang indah, air matanya melimpah keluar ketika menghayati maksud dari ayat-ayat tersebut. Suaminya yang memerhati dan menyemak segala bacaannya turut  terharu.

Ayat-ayat yang dibaca oleh Fatimah menusuk ke dalam jantungnya, tenggelam dalam hatinya dan terus bertebaran ke dalam urat sarafnya.  Sedang masing-masing khusyuk menghayati maksud ayat Al Quran itu, tanpa disedari ada sepasang mata yang sedang mengintip dan memasang telinga mendengar ayat yang dibaca. Mata itu memandang dengan pandangan sinis tanpa berkelip-kelip, merah menyala menahan marah. Walaupun kalimah yang dibaca itu agak kurang jelas namun dia yakin bahawa kedua suami isteri itu kini telah Islam sebagaimana kata seorang pemuda yang ditemuinya sebentar tadi.

Dengan suara lantang, Umar menjerkah mereka. Fatimah tersentak, cepat-cepat dia menyimpan lembaran itu.

“Kalimah apa yang saya dengar tadi?”

Mereka berpura-pura meng- geleng-gelengkan kepala menanda kan tidak tahu.

“Aku mendengar kamu berdua telah mengikut agama Muhammad? Benarkah begitu?” jeritnya bagaikan halilintar.

“Apa pendapatmu sekiranya agama selain agamamu itu adalah be nar?” jawab iparnya Said.

Mendengar itu Umar melompat ke arah iparnya itu, terjadilah pergelutan. Umar menarik janggut Said. Said terlentang, lalu diduduki oleh Umar di atas dadanya, sehingga tidak bergerak. Melihat kejadian itu, Fatimah menolak badan Umar untuk membela suaminya.  Spontan Umar berdiri lalu menempeleng muka adiknya. Fatimah terjatuh, darah merah mengalir keluar dari hidung dan mulutnya.

Fatimah bangkit dari tempat jatuhnya, tiba-tiba seakan-akan ada satu seruan yang menggesanya supaya mengatakan sesuatu kerana masa itulah saat yang paling sesuai untuk diterangkan mengenai Islam. Tanpa menghiraukan  darah yang berhamburan itu Fatimah berkata dengan penuh keyakinan: “Wahai musuh Allah, engkau pukul kami kerana kami mengEsa kan Allah. Engkau boleh buat sesuka hatimu. Sekalipun engkau bunuh kami, kami  tetap mengaku bahawa tidak ada Tuhan selain Allah, dan bahawa Muhammad itu adalah Rasul Allah, yang akan membersihkan dunia ini dari sebarang kezaliman dan penindasan.”

Darah yang mengalir keluar dari hidung dan mulut Fatimah serta jawapannya yang begitu berani, membawa kesan yang mendalam pada jiwa Umar. Dengan tiba-tiba dia rasa menyesal dan sedih atas tindakannya yang melulu itu. Dia merasa bersalah kerana memukul adik kandungnya sendiri.

Dengan suara merendah,  Umar berkata: “Berikan aku apa yang kamu baca tadi.”

Fatimah agak keberatan memberi kan lembaran itu. Tetapi melihatkan kesungguhan abangnya yang ingin mengetahui akhirnya Fatimah mengeluarkan lembaran ayat Al Quran itu dan diberikan kepada Umar. Ayat tersebut berbunyi: “Kami tidak menurunkan Al Quran itu kepadamu agar kamu mendapat kesusahan, tetapi sebagai peringatan bagi orang-orang yang takut (kepada Allah). Diturunkan dari Allah yang menciptakan bumi dan langit yang tinggi (iaitu) Tuhan yang Maha Pemurah yang bersema yam di atas arasy.” Surah Thaha: 1-5

Berkata Sayidina Umar Al-Khattab: Aku mengamati semua sahabat, dan tidak menemukan sahabat yang lebih baik daripada menjaga lidah. Saya memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak menemukan pakaian yang lebih baik daripada taqwa. Aku merenungkan tentang segala jenis amal baik, namun tidak mendapatkan yang lebih baik daripada memberi nasihat baik. Aku mencari segala bentuk rezeki, tapi tidak menemukan rezeki yang lebih baik daripada sabar.

Umar berpaling pada Fatimah seraya berkata, “Alangkah baik dan indahnya kalimah-kalimah ini.” Mendengar jawapan tersebut  keluar dari bibir Umar, Fatimah terasa seakan-akan bermimpi tapi bila sedar kembali itulah sebenarnya kenyataan. Fatimah berkata sambil menyebut kata-kata  Rasulullah: “Ya Allah, kuatkanlah Islam dengan Abdul Hakam bin Hisyam atau Umar bin Al Khattab. Maka Allah telah memilih Umar, saudaraku sendiri.”

Tiga kali Fatimah menyebut nama Allah kerana terlalu berterima kasih pada Tuhan yang telah memperkenankan doa Rasulullah dan rintihan hatinya selama ini. Jiwa Umar kini telah berubah. Jiwanya kini telah disinari dengan cahaya iman dan hidayah. Umar berkata kepada Fatimah, “Tunjukkan kepadaku di mana Muhammad berada, aku akan datang padanya demi Islam.”

Setelah memberitahu bahawa Rasulullah berada di rumah Arqam bin Abi Arqam, Umar bergegas meninggalkan mereka untuk mendapatkan Rasulullah SAW. Kalau sebelum ini tujuannya adalah. untuk memerangi Rasulullah tapi kini untuk berdamai dan menyatakan ke Islamannya.

Fatimah memandang suaminya,  Said tersenyum.  Fatimah turut tersenyum gembira.  Setelah membersihkan darah yang keluar dari hidung dan mulutnya, Fatimah lantas sujud syukur kepada Allah. Bersyukur kerana telah menyelesaikan masalahnya. Bersyukur kerana Allah telah menyelamatkan saudara kandungnya dari terus kufur. Begitulah kalau Allah hendak memberikan hidayah pada hambaNya. Bila-bila masa saja kalau Allah kehendaki.

Begitulah seorang wanita yang terpimpin hatinya. Wanita yang kaya jiwanya dengan segala sifat kesaba ran, redha, tawakal pada Allah. Tenang berada dalam penderitaan, hatinya mengenagi Allah dengan rasa takut dan harap kepada-Nya. Hatinya sentiasa merasa kehebatan, keagungan, kemurahan dan kasih sayang Allah.

Setiap masa yang Allah anugerah kan kepadanya digunakan untuk berfikir, mencari dan mengenali Allah. Matanya digunakan untuk membaca ayat-ayat Allah sebanyak- banyaknya. Telinganya digunakan i untuk mendengar tentang Allah. Kaki dan tangannya digunakan untuk berbakti kepada Allah. Kesimpulannya seluruh anggotanya digunakan untuk mencari keredhaan Allah. Maka di dunia lagi Allah beri kemenangan kepadanya.

Sejuklah hati Fatimah melihat abangnya kini bukan lagi seperti abangnya dulu. Telah berubah menjadi manusia yang sempurna lahir dan batin. Hasil dari kesungguhan Umar bermujahadah, Allah muliakan darjatnya sebaris dengan para sahabat yang lain seperti Sayidina Abu Bakar yang dijamin syurga.

Sebelum tidur, dia kenang perbuatannya sepanjang hari. Kalau dia terbuat sesuatu yang tidak disukai Allah Umar akan merotan badannya sendiri hingga bengkak-bengkak. Dikorbankan separuh dari hartanya untuk membantu perjuangan agama Allah.

Doa Sayidina Umar yang paling terkenal: “Ya Allah, sibukkanlah aku dalam urusan agama-Mu.”

Umar Al Khattab paling kuat mempertahankan hukum Allah. Pada masa ia menjadi kha!ifeh, suatu ke-tika anaknya sendiri terlajak membuat maksiat Anak itu dihukum sesuai dengan hukum syariat Islam, dan akhimya anak itu mati ketika menjalani hukuman tersebut. Ketegasan Umar membezakan perkara yang hak dan yang batil membuatkan beliau digelar ‘Al Fa-rouq’. Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya ada nabi selepasku nescaya Umarlah orangnya.”

Begitulah kehebatan Sayidina Umar Al Khattab. Namun, tentunya kita tidak melupakan adiknya, Fatimah kerana di rumah Fatimahlah, menjadi tempat terbukanya jiwa Umar, menerima cahaya llahi. Maka atas dasar itulah sesuai sekali Fatimah digolong dalam kelompok wanita solehah, wanita mukmin sejati yang begitu berani mempertahankan keyakinan dan keimanannya.

Selain dari itu kehebatan Sayidina Umar ialah ia seorang yang sentiasa menjaga makan dan minumnya daripada sumber yang halal. Pada suatu hari ada seorang lelaki membawa secawan susu buat Umar. Kerana dahaga, baginda terus meminum susu itu tanpa mengetahui dari ia diperoleh. Sesudah meminum susu itu beliau berasa pelik dengan rasa susu itu. Tanpa berlengah, Umar bertanya kepada lelaki itu: “Dari manakah kamu dapat susu ini?”

Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya mendapat susu ini daripada pengembala unta yang duduk menunggu unta yang disedekahkan di padang pasir di sana. Unta-untanya itu meragut rumput di situ.”

Umar terkejut lalu menjolokkan jarinya ke dalam kerongkong memuntahkan air susu yang diminum.

Umar berbuat demikian kerana tidak mengetahui asal usul pengembala dan rumput yang dimakan oleh unta itu milik siapa.

"Siapa yang banyak cakap, banyaklah salahnya, bila banyak salahnya, banyaklah dosanya, bila banyak dosanya, maka neraka adalah yang utama baginya" - SAYIDINA UMAR AL-KHATTAB

Pernah dilaporkan bahawa Umar juga seorang yang sangat berhati-hati, dan tidak mementingkan diri. Kisah ini terjadi ketika khalifah itu mendapat kasturi dari Bahrain. Umar mendapat beberapa kilo kasturi. Beliau mempunyai masalah menimbang semua kasturi itu. Beliau berhajat memberikan kasturi itu secara sama rata kepada orang Islam yang berada di kawasannya.

“Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini.  Saya mahu mengagihkan kasturi ini kepada semua orang Islam yang ada di sini supaya mereka dapat buah ini,” kata Umar. Mendengar berita itu, isterinya menawarkan diri menimbang kasturi itu. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isteri Umar. Umar tidak berkata apa-apa. Sejenak kemudian, beliau bersuara: “Siapakah yang mahu menimbang buah kasturi ini?” Tidak ada orang yang menjawab. Tetapi isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbangnya. “Saya pandai menimbang kasturi itu,” kata isterinya itu. Umar hanya mendiamkan dirinya.

Kali ini masuk kali ketiga Umar bertanyakan soalan yang sama: “Siapakah yang mahu menimbang kasturi ini?”

Secara sukarela isterinya sekali lagi menawarkan diri menimbang. Pada kali ini Umar tidak berdiam diri lalu beliau berkata: “Saya tidak mahu kamu menyentuh kasturi itu kerana bau kasturi itu nanti pasti kamu sapukan kepada badanmu. Itu bukan hak kita.”

Oleh kerana itu, Umar mahu orang lain selain daripada ahli keluarganya yang menimbang kasturi tersebut. Umar tidak mahu kedudukan dan kelebihannya sebagai khalifah disalahgunakan oleh ahli keluarga.

KISAH ALLAH TUTUP AIB PENGIKUT NABI MUSA YANG BERDOSA

Barang siapa melepaskan seorang mukmin dari kesusahan hidup di dunia, nescaya Allah akan melepaskan darinya kesusahan di hari kiamat, barang siapa memudahkan urusan (mukmin) yang sulit nescaya Allah akan memudahkan urusannya di dunia dan akhirat. Barang siapa menutup aib seorang Muslim, maka Allah akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. Allah akan menolong seorang hamba, selama hamba itu senantiasa menolong saudaranya. Barang siapa menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memudahkan jalan baginya menuju syurga. Tidaklah suatu kaum berkumpul di salah satu rumah Allah untuk membaca Kitabullah dan mempelajarinya bersama-sama, melainkan akan turun kepada mereka ketenteraman, rahmat Allah akan menyelimuti mereka, dan Allah memuji mereka di hadapan (para malaikat) yang berada di sisi-Nya. Barang siapa amalnya lambat, maka tidak akan disempurnakan oleh kemuliaan nasabnya. (HADIS DIRIWAYATKAN – MUSLIM)

Pada zaman Nabi Musa AS, Bani Israel ditimpa musim kemarau yang berpanjangan.  Mereka pun berkumpul mendatangi Nabi mereka. Mereka berkata, “Ya Kalimallah, berdoalah kepada Rabbmu agar Dia menurunkan hujan kepada kami”. Maka berangkatlah Musa A.S. bersama kaumnya menuju padang pasir yang luas. Waktu itu mereka berjumlah lebih dari 70 ribu orang. Mulailah mereka berdoa dengan keadaan yang lusuh dan penuh
debu, haus dan lapar.

Nabi Musa berdoa, “Ilaahi! Asqinaa ghaitsak.. wansyur ‘alaina rahmatak.. warhamnaa bil  athfaal ar rudhdha’.. wal bahaaim ar rutta’.. wal masyaayikh ar rukka’..” Setelah itu langit tetap saja terang benderang, matahari pun bersinar makin menyilau (maksudnya segumpal awan pun tak jua muncul). Kemudian Nabi Musa berdoa lagi, “Ilaahi..
asqinaa”..

Allah pun berfirman kepada Musa, “Bagaimana Aku akan menurunkan hujan kepada kamu sedangkan di antara kalian ada seorang hamba yang bermaksiat sejak 40 tahun yang lalu. Umumkanlah di hadapan manusia agar dia berdiri di hadapan kalian semua. Kerana dialah, Aku tidak menurunkan hujan untuk kamu”.

Maka Musa pun berteriak di tengah-tengah kaumnya, “Wahai hamba yang bermaksiat kepada Allah sejak 40 tahun, keluarlah ke hadapan kami, kerana engkaulah hujan tak  turun”. Seorang lelaki menjeling ke kanan dan kiri, maka tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia, saat itu pula ia sedar kalau dirinya yang dimaksudkan.

Ia berkata dalam hatinya, “Kalau aku keluar ke hadapan manusia, maka akan terbuka rahsiaku. Kalau aku tidak berterus terang, maka hujan pun tak akan turun”. Maka hatinya pun gundah-gulana, air matanya pun menitis, menyesali perbuatan maksiatnya sambil berkata , “Ya Allah, Aku telah bermaksiat kepadaMu selama 40 tahun, selama itu pula Engkau menutupi aibku. Sungguh sekarang aku bertaubat kepadaMu, maka terimalah taubatku”.

Tak lama setelah pengakuan taubatnya tersebut, maka awan-awan tebal pun muncul, semakin lama semakin tebal menghitam, dan akhirnya turunlah hujan. Musa pun kehairanan, “Ya Allah, Engkau telah turunkan hujan kepada kami, namun tak seorang pun yang keluar di hadapan manusia”. Allah berfirman, “Aku menurunkan hujan kepada kamu oleh sebab hamba yang kerananya hujan tak turun telah bertaubat kepadaKu”.

Musa berkata, “Ya Allah, tunjukkan padaku hamba yang taat itu”. Allah berfirman, “Ya Musa, Aku tidak membuka aibnya sewaktu dia masih bermaksiat kepadaKu, apakah Aku perlu membuka aibnya sedangkan dia taat kepadaKu?”

Begitulah baiknya Tuhan..kalau lah dibuka aib kita setiap kali kita melakukan dosa, tentu lah malunya manusia. Tetapi dengan rahmatNya di tutup aib bahkan sekiranya bertaubat dan Allah ampunkan dosa2 bahkan bila  taubat di terima, akan di padam segala keaiban tersebut.

Moga di bulan Ramadhan ini kita mengakui semua dosa-dosa kita, ditaubatkan sungguh2 kerana kemuliaan Ramadhan itu, Allah berjanji melalui kekasihnya Rasulullah, diantara keistimewaan Ramadhan, bulan diampunkan semua dosa2 dan bulan akan dikabulkan semua doa2…”Ya Allah, melalui mukjizat RasulMu, ampunilah segala dosa2 kami yang
terdahulu mahupun yang kemudian, yang tersembunyi mahupun yang nyata, yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui, yang disengajakan mahukan yang tidak disengajakan.Sesungguhnya kemuliaan bulan ini, moga sudilah Engkau mengampuni kami wahai Tuhan.”

Powered by WordPress | Designed by: game cheats | Thanks to city tours, electronic cigarette and seo service