KISAH SAHABAT

SIAPA PINTU GERBANG ILMU?

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Pada suatu hari, sepuluh orang dari kaum Khawarij bertemu dengan Sayidina Ali bin Abi Talib kwj untuk bertanyakan beberapa soalan. Walau bagaimanapun, mereka sebenarnya bertujuan untuk menguji kehebatan Sayidina Ali sama ada ia bertepatan dengan satu hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : “Aku ini kotanya ilmu pengetahuan, dan Ali adalah sebagai pintunya.”

Sebaik sahaja bertemu Sayidina Ali, mereka dilayan dengan begitu baik. Salah seorang dari mereka kemudian membuka mulut dan berkata, “Wahai Ali, kami yang datang seramai sepuluh orang ini adalah dihantar oleh kaum kami untuk mengajukan pertanyaan kepadamu. Kami akan bertanya secara bergilir-gilir dan jawapan yang kamu berikan itu akan kami bawa pulang kepada kaum kami.”

(more…)

BALASAN 5O KALI SETELAH MEMBERI 6 DIRHAM

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah, Ayat 261 yang bermaksud: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya...”

Sebaik sahaja pulang dari rumah Nabi Muhammad s.a.w., Ali bin Abu Talib menemui isteri tercintanya, Fatimah az-Zahra dan bertanya: “Wahai wanita mulia, adakah kamu mempunyai manakan untuk suamimu?”

Fatimah menjawab: “Demi Allah, saya tidak mempunyai makanaN sedikit pun. Tetapi ini ada enam dirham yang saya terima daripada Salman sebagai upah memintal. Saya mahu belikan makanan untuk Hassan dan Husain.”

Ali berkata: “Biar saya sahaja yang pergi membeli makanan.”

Fatimah segera menyerahkan enam dirham itu kepada suaminya. Ali keluar lagi bagi membeli makanan.

Di tengah jalan, Ali bertemu seorang lelaki yang berkata: “Siapa yang mahu memberikan pinjaman kepada Tuhan yang maha pengasih dan selalu menepati janji?”

Tanpa berfikir panjang, Ali menyerahkan semua wangnya sebanyak enam dirham kepada lelaki itu. Lalu dia pulang dengan tangan kosong. Fatimah, yang melihat suaminya pulang tanpa membawa makanan, menangis.

Ali pun bertanya: “Wahai Fatimah mengapa kamu menangis?”

“Wahai suamiku, kamu pulang tanpa membawa apa-apa,” kata Fatimah.

Ali menjawab: “Aku meminjamkan wang itu kepada Allah.”

Mendengar jawapan itu, Fatimah berkata: “Sekiranya begitu, saya menyokong tindakanmu.”

Ali kemudian keluar rumah lagi dan berniat hendak menemui Nabi Muhammad s.a.w. Di tengah jalan seorang Arab Badwi yang sedang menuntun seekor unta menghampirinya, dan berkata: “Wahai Aba-al Hassan, belilah unta ini.”

Ali berkata: “Saya tidak mempunyai wang.”

“Kamu boleh membayarnya pada bila-bila masa,” kata Badwi itu.

“Berapa harganya?” tanya Ali, menunjukkan minat.

“Tidak mahal, 100 dirham sahaja,” jawab Badwi itu.

“Baiklah, saya beli,” kata Ali yang kemudian meneruskan perjalanannya menuntun unta.

Baru beberapa langkah Ali berjalan, seorang Badwi lain menghampirinya dan bertanya: “Hai Abu Hassan, adakah kamu hendak menjual unta ini?”

“Ya,” jawab Ali.

“Berapa?” Tanya Badwi itu.

“300 dirham,” jawab Ali.

“Baiklah saya beli,” kata Badwi itu dan terus memberikan wang RM300 dirham kepada Ali.

Ali segera pulang ke rumah kerana hendak menceritakan peristiwa itu kepada Fatimah. Setibanya di rumah, Fatimah bertanya: “Apa yang kamu bawa itu wahai Abu Hassan?”

“Wahai Fatimah, saya membeli seekor unta dengan harga 10 dirham, kemudian saya menjualnya dengan harga RM300 dirham,” jawab Ali.

Seterusnya Ali pergi menemui Nabi Muhammad s.a.w. di masjid. Melihat Ali sampai di masjid, Nabi s.a.w. tersenyum dan berkata: “Wahai Abu Hassan, adakah kamu mahu bercerita ataupun biarkan saya sahaja yang bercerita?”

“Kamu sahaja yang bercerita, wahai Rasulullah,” kata Ali.

“Hai Abu Hassan, tahukah kamu siapa orang Badwi yang menjual unta dan Badwi yang membeli unta daripada kamu tadi?”

Ali menggeleng: “Tidak, Allah dan rasul-Nya yang lebih tahu.”

Nabi Muhammad s.a.w. menjelaskan: “Berbahagialah kamu. Kamu meminjamkan enam dirham kepada Allah. Allah memberikan kembali kepadamu 300 dirham. Setiap satu dirham mendapat ganti 50 dirham.

“Orang Badwi yang pertama menemuimu itu adalah malaikat Jibrail dan yang kedua adalah malaikat Mikail.”

Lupakanlah nikmat dunia yang sudah luput, jangan susahkan hati dengan nikmat yang belum ada, gunakanlah nikmat dunia yang dalam tangan untuk kebajikan, agar hati tenang

Maksud al-Baqarah, ayat 261: “Bandingan orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai; tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya ….

Imam Ahmad meriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, bahawasanya ada seorang lelaki yang menginfakkan seekor unta – yang hidungnya telah diberi tali – di jalan Allah. Lalu Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: “Engkau pasti akan datang pada hari kiamat kelak, dengan 700 unta yang telah ditalikan hidungnya.

WAHSYI MENEBUS DOSANYA

Tangisilah dosa-dosa, agar air mata berguguran, gugurnya air mata boleh menggugurkan dosa-dosa, sekaligus boleh memadamkan api Neraka, takutilah Allah dengan sepenuh hati, ia akan menjadi syafaat di Akhirat nanti...

Wahsyi bin Harb, terkenal dalam sejarah sebagai seorang hamba kulit hitam yang telah membunuh dengan kejam Sayidina Hamzah r.a., bapa saudara Rasulullah SAW. Ketika terjadinya Perang Uhud, Hindun telah menawarkan kepada Wahsyi agar membunuh Sayidina Hamzah r.a. dan sebagai ganjarannya dia akan dimerdekakan. Wahsyi yang memang menunggu-nunggu peluang keemasan itu telah menerima tawaran tersebut.

Wahsyi segera berangkat ke medan Uhud secara sembunyi-sembunyi dan mencari-cari Sayidina Hamzah. Akhirnya dia mengenal pasti orang yang dicari iaitu Sayidina Hamzah r.a. bapa saudara kepada Rasulullah SAW. Wahsyi mula mencari tempat yang paling strategi iaitu dengan berlindung di sebalik batu. Beliau menunggu masa yang sesuai untuk bertindak.

Setelah cukup yakin, beliau pun melemparkan lembingnya tanpa disedari oleh Sayidina Hamzah r.a. dan lembing itu tepat mengenai sasarannya. Sayidina Hamzah rebah ke bumi lalu syahid. Wahsyi segera memberitahu tuannya, lalu datanglah Hindun mendapatkan jasad Sayidina Hamzah yang sudah tidak bernyawa itu. Dibelahnya dada Sayidina Hamzah r.a. dengan kejam dan tanpa belas kasihan terus dikeluarkan jantungnya. Kemudian dengan rakus sekali dia mengunyah jantung Sayidina Hamzah r.a. kerana hendak memakannya, tetapi dia tidak mampu menelannya. Setelah hatinya puas, Hindun pun meninggalkan mayat bapa saudara Rasulullah itu.

Setelah peperangan tamat, kesemua para syuhadak dikumpulkan untuk dikebumikan. Rasulullah SAW terasa amat hiba dan sedih apabila melihat mayat bapa saudaranya itu diperlakukan sedemikian rupa. Rasulullah menanggung kedukaan yang sangat hebat yang tidak dapat digambarkan oleh kata-kata.

Ketika hari pembukaan (futuh) Mekah, Rasulullah SAW telah mengutus seseorang kepada Wahsyi untuk menyerunya kepada Islam. Akhirnya Wahsyi memeluk Islam, lalu dibawa ke hadapan Rasulullah SAW.

Rasulullah bertanya, “Kamukah yang bernama Wahsyi?”

“Ya,” jawab Wahsyi.

“Kamukah yang telah membunuh bapa saudaraku Hamzah?” tanya Rasulullah.

“Benar,” jawab Wahsyi.

“Ceritakan kepadaku bagaimana kamu melakukan pembunuhan itu,” pinta Rasulullah.

Wahsyi pun menceritakan satu persatu apa yang telah dilakukan kepada bapa saudara Nabi itu, bagaimana tubuh bapa saudara baginda dilapah dengan kejam oleh Hindun dan dimakan hati dan jantungnya. Selesai sahaja bercerita, Rasulullah SAW yang dalam keadaan teramat sedih berkata kepadanya: “Pergilah kamu dari sini. Jangan engkau muncul lagi di hadapan mataku.”

Hancur luluh hati Wahsyi mendengar kata-kata yang keluar dari mulut baginda. Namun dia akur dan insaf bahawa perbuatannya dahulu telah menyakiti hati ‘orang Tuhan’ iaitu Rasulullah SAW. Walaupun dosanya telah diampunkan Iantaran memeluk Islam, tetapi atas kasih sayang Rasulullah, dia dilarang menampilkan diri di hadapan baginda, takut-takut perasaan Rasulullah tercacat apabila terpandang wajahnya. Mencacatkan hati orang Tuhan sangat besar akibatnya kerana itu bererti mencacatkan ‘hati’ Tuhan. Orang yang cacat dengan Tuhan tidak akan selamat di dunia lebih-Iebih lagi di Akhirat.

Lalu Wahsyi yang sedar akan kedudukannya, redha menerima ketentuan itu. Dia memperbaiki dirinya dan meningkatkan ketaqwaannya kepada Tuhan. Sewaktu-waktu menghadiri majlis baginda, Wahsyi mengintai-ngintai dari jauh untuk melihat wajah Rasulullah SAW.

Semakin hari hatinya semakin cinta dengan Nabi SAW. Dan semakin hari hatinya juga semakin rasa berdosa terhadap baginda atas perbuatannya dahulu. Lalu timbul azam di hatinya untuk menebus kembali dosa-dosanya itu dengan melakukan sesuatu yang akan menggembirakan baginda. Wahsyi bertekad dan berazam tidak akan pulang lagi ke Kota Mekah demi untuk merebut cinta kekasih Allah iaitu Muhammad SAW. Beliau benar-benar ingin menebus kesalahannya dengan menyebarkan Islam. Keazaman Wahsyi itu telah dibuktikannya dengan menjelajah ke seluruh pelosok dunia untuk berdakwah mengajak seramai mungkin manusia kepada Islam, hingga akhirnya beliau mati di luar Jazirah Arab.

Powered by WordPress | Designed by: game cheats | Thanks to city tours, electronic cigarette and seo service