KISAH AHLUL BAIT 5 – SAYIDINA HUSSIN

Sayidina Ali berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mencintai kedua orang ini, yakni Hassan, Hussin dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat. Hadis riwayatkan oleh Ahmad dan At-Tarmizi

Sayidina Hussin dilahirkan di kota Madinah pada 5 haribulan Syaaban, tahun 4 Hijrah. Perbezaan umur di antara Sayidina Hussin dan abangnya Sayidina Hassan adalah setahun sepuluh bulan. Lahirnya Sayidina Hussin turut menambahkan kegembiraan Rasulullah SAW. Baginda yang memberi nama “Hussin” itu yang bermaksud, “Si Kecil cantik”.

Sewaktu menyambut kelahiran cucu Ielakinya yang kedua itu, Rasulullah SAW begitu ceria. Sewaktu memangku cucunya itu, tiba-tiba wajah baginda berubah. Orang-orang yang berada di keliling baginda merasa hairan mengapa wajah baginda tiba-tiba berubah sedih. Rupanya Rasulullah SAW sudah tahu bahawa akhir hidup Sayidina Hussin amatlah menyedihkan di mana beliau akan dibunuh dengan kejam.

Sebagai cucu yang selalu dipanggil sebagai puteranya, Rasulullah SAW sangat sayang sekali dengan Sayidina Hussin. Pada suatu hari, ketika masih kecil, Sayidina Hussin kelihatan bertengkar dengan abangnya Sayidina Hassan di hadapan baginda dan ibu mereka, Siti Fatimah. Perkara seperti itu biasa berlaku di kalangan kanak-kanak. Rasulullah SAW segera menegur Hassan.

Siti Fatimah merasa kurang senang melihat sikap Rasulullah SAW menegur seorang sahaja dari kedua cucunya itu. Maka Siti Fatimah berkata: “Wahai ayah, kenapa menegur Hassan sahaja?”

“Kerana Jibrail sudah menegur Hussin,” jawab baginda.

Tatkala kecilnya Sayidina Hussin selalu berada di sisi datuknya sewaktu baginda sedang mengajar para Sahabat. Maka dia mendapat pelbagai ilmu dan contoh teladan dari datuknya itu secara langsung. Sebagaimana abangnya, Sayidina Hussin juga seorang yang cerdik. Dia telah dapat menghafal Hadis-hadis Rasulullah semenjak kecilnya lagi.

Sayidina Hussin memang ditakdirkan Allah untuk menjadi seorang yang agung di kalangan umat Islam. Semenjak kecil, beliau menunjukkan contoh-contoh akhlak yang terpuji sebagai mewarisi sifat-sifat ayah dan datuknya. Semenjak kecil juga, beliau telah menunjukkan sifat berani sebagaimana ayahnya juga.

Setelah kewafatan Rasulullah, yakni waktu Sayidina Umar Al Khattab menjadi khalifah, ketika beliau sedang memberi khutbah di mimbar, Sayidina Hussin yang masih kanak-kanak telah berkata kepada Sayidina Umar dengan beraninya: “Turun engkau dari mimbar ayahku (Rasulullah SAW) dan pergilah berkhutbah di atas mimbar ayahmu.”

Sayidina Umar yang suka merendah diri menjawab dengan lembut kepada cucu kesayangan Rasulullah itu: “Ayahku tidak mempunyai mimbar seperti ayahmu.”

Sayidina Umar turun dari mimbar dan mengangkat Sayidina Hussin untuk duduk di sebelahnya sebelum menyambung khutbahnya. Demikian beraninya Sayidina Hussin waktu kecilnya.

Dalam hal keberanian, Sayidina Hussin melebihi Sayidina Hassan, abangnya. Demikianlah yang telah diwariskan Rasulullah SAW untuknya. Beliau banyak menyertai peperangan bersama umat Islam.

Sewaktu kewafatan Khalifah Sayidina Ali, Sayidina Hassan telah dilantik menjadi khalifah. Demi menjaga perpaduan umat Islam, akhirnya Sayidina Hassan menyerahkan jawatan itu kepada Sayidina Muawiyah. Sayidina Hussin tidak bersetuju dengan tindakan abangnya itu. Namun kerana menghormati abangnya, maka Sayidina Hussin akur.

Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa mencintai kedua orang ini, yakni Hassan, Hussein dan ayah serta ibunya, maka ia bersama aku dalam darjatku di Hari Kiamat Diriwayatkan oleh Ahmad dan At-Tarmizi dari Sayidina Ali r.a.

Sebelum Muawiyah meninggal, beliau telah berwasiat agar anaknya Yazid menggantikan tempatnya setelah dia tiada. Waktu itu Yazid memaksa semua para Sahabat membuat pengakuan taat setia kepadanya. Ketika itu Sayidina Hussin telah berangkat meninggalkan Kufah, menuju ke Madinah. Sebenarnya ramai yang tidak bersetuju dengan perlantikan Yazid itu. Penyokong- penyokong Sayidina Hussin mengutus surat kepadanya agar dia kembali ke Kufah untuk dilantik menjadi khalifah. Penduduk Kufah enggan menerima Yazid sebagai khalifah.

Sebelum kembali ke Kufah, Sayidina Hussin telah menghantar utusannya untuk menyiasat apakah benar isi kandungan surat itu. Setelah ternyata ia benar maka Sayidina Hussin bersiap- siap untuk membawa kaum keluarganya kembali ke Kufah. Sayidina Hussin yang sangat baik, tidak sedikit pun menaruh syak wasangka bahawa suatu yang buruk akan menimpa dirinya dan ahlul bait yang lain.

Para Sahabat Rasulullah yang masih hidup ketika itu menasihatkan Sayidina Hussin agar jangan kembali ke Kufah kerana keadaan ketika itu sangat bahaya. Kerabatnya yang terdekat iaitu Abdullah bin Abbas telah bersungguh-sungguh cuba menghalang Sayidina Hussin namun Sayidina Hussin tetap dengan pendiriannya. Kemudian Abdullah menasihatkannya pula agar jangan membawa ahli-ahli keluarga kerana bimbang jika apa yang menimpa Khalifah Usman bin Affan juga akan menimpa Sayidina Hussin. Sewaktu Khalifah Usman dibunuh oleh pemberontak, peristiwa itu disaksikan oleh ahli keluarganya sendiri. Abdullah bimbang jika keluarga dari keturunan Rasulullah SAW akan dibunuh kesemuanya. Sayidina Hussin tetap mahu membawa keluarganya bersama. Maka akhirnya rombongan Sayidina Hussin yang terdiri dari 72 orang pun berangkat ke Kufah. Kebanyakan anggota rombongan adalah wanita dan kanak-kanak termasuk anak Sayidina Hussin iaitu Ali Zainal Abidin yang sedang meningkat remaja.

Ada pihak memberitahu Yazid bahawa Sayidina Hussin hendak merampas kuasa. Maka Yazid telah menghantar tenteranya untuk menghalang Sayidina Hussin dari dibaiat oleh penduduk Kufah. Ada riwayat yang menyatakan bahawa Yazid cuma mengarahkan tenteranya untuk menyiasat, bukan untuk membunuh Sayidina Hussin dan keluarganya. Namun, apa yang berlaku seterusnya sungguh sangat menyayat hati. Rombongan Sayidina Hussin yang seramai 72 orang itu terpaksa berdepan dengan tentera Yazid seramai 4000 orang! Teijadilah peristiwa berdarah di Karbala. Pembunuhan kejam terhadap kaum keluarga Rasulullah SAW di Karbala itu berlaku pada 10 Muharram tahun 61 Hijrah. Pertempuran itu menyebabkan hampir seluruh anggota rombongan Sayidina Hussin dibunuh.

Pertempuran itu berlaku dari waktu Subuh hingga ke waktu Asar. Sungguhpun rombongan Sayidina Hussin kecil jumlahnya namun mereka bermati-matian mempertahankan diri. Dalam perang itu, Sayidina Hussin menunjukkan keberanian luar biasa. Walaupun dalam keadaan sulit dan bahaya, beliau sempat mengerjakan solat Zuhur dan Asar. Apabila hampir rembang, tinggal beberapa orang sahaja dari kalangan keluarga Sayidina Hussin sedangkan pihak musuh telah kehilangan hampir 1000 orang tenteranya. Pertempuran yang berlangsung begitu lama menunjukkan betapa hebatnya Sayidina Hussin dan anak-anak buahnya menentang musuh. Akhirnya Sayidina Hussin menemui ajalnya apabila sebatang anak panah tiba-tiba mengenai tubuhnya, tepat di bahagian jantungnya. Dalam keadaan berlumuran darah dan amat letih setelah sehari suntuk berperang, Sayidina Hussin menghembuskan nafasnya yang terakhir di padang Karbala itu.

Kata-kata terakhir yang diucapkannya: “Oh Tuhan, mereka telah membunuh putera Nabi-Mu sedangkan di dunia ini tiada lagi putera Nabi selain aku.”

Dalam perang itu, mereka yang terselamat adalah wanita dan kanak-kanak termasuklah adik Sayidina Hussin, iaitu Zainab Al Kubra dan anak Sayidina Hussin iaitu Ali Zainal Abidin. Ali Zainal Abidinlah yang menjadi penyambung keturunan Rasulullah. Dia juga nyaris dibunuh tetapi Tuhan mengkehendaki agar bersambungnya keturunan Rasulullah maka dia terselamat. Kepala Sayidina Hussin telah dipotong dan dihantar kepada Yazid. Mengikut sejarah, Yazid menangis apabila melihat kepala cucu Rasulullah itu. Beliau mengarahkan agar kepala itu dihantar ke Madinah berserta keluarga dan anaknya dengan upacara kehormatan dan kemuliaan. Tubuh Sayidina Hussin dikuburkan di Karbala, sedangkan kepalanya ditanam di Madinah, bersebelahan dengan makam ayah dan ibunya.

Demikianlah perginya cucu kesayangan Rasulullah SAW itu. Dia menjadi korban keganasan fitnah oleh golongan yang cinta dunia. Menurut suatu keterangan sejarah, tiada seorang pun dari mereka yang terlibat dalam pembunuhan Sayidina Hussin dan ahlul bait di Karbala itu selamat. Allah telah menyegerakan hukuman untuk mereka di dunia lagi. Ada yang mati dibunuh, ada yang jadi buta, ada yang mukanya jadi hitam dan macam-macam lagi. Bahkan ada yang kehilangan kuasanya dalam waktu yang singkat. Mereka berniat untuk membunuh keturunan Rasulullah SAW tetapi Allah menyelamatkan Ali Zainal Abidin, anak lelaki tunggal Sayidina Hussin sebagai penyambung zuriat baginda. Dari Ali Zainal Abidin, lahir ramai keturunan yang mulia dan suci ini.

Print Friendly
You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply

You must be logged in to post a comment.

Powered by WordPress | Designed by: game cheats | Thanks to city tours, electronic cigarette and seo service